Terdapat beberapa kawasan perlancongan dan tempat bersejarah di sekitar Daerah Besut yang boleh dilawati dan diterokai, antaranya:
1) Pantai Air Tawar
Kedudukan geografi Besut bukan sahaja dikelilingi pulau-pulau yang cantik, bahkan pantai-pantainya juga tidak kalah menjadi daya tarikan kepada pelancong. Pantai Air Tawar ini sudah menjadi antara tempat terkerap yang akan disinggahi pelancong sama ada dalam atau luar negara terutamanya pada waktu hujung minggu atau musim cuti. Jarak antara Kg Layout Tok Saboh dan Pantai Air Tawar kira kira 4.2 Km
Dek kerana keindahan laut dan pantainya yang bersih putih seperti pasir di Pulau Redang maka tidak hairanlah jika pantai ini tidak asing lagi bagi mereka yang bertandang ke Terengganu. Seperti biasa, tidak lengkaplah jika pantai semeriah ini jika tidak menyediakan kemudahan kepada pengguna. Di sini turut disediakan tandas, kerusi untuk bersantai, gerai-gerai jualan dan taman permainan kanak-kanak. Selalunya pada hujung minggu pantai ini akan dibanjiri dengan pelawat-pelawat yang datang bersama seisi keluarga untuk berkelah.
Aktiviti air juga turut disediakan seperti jetski, banana boat. Bukan sahaja aktiviti air yang boleh anda lakukan, tetapi banyak lagi aktiviti seperti menaiki ATV, menunggang kuda dan juga aktiviti sukan yang lain. Setiap tahun juga wajib bagi penganjur pantai air tawar ini mengadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian. Kepada mereka yang ingin bermalam disini turut disediakan tempat penginapan berupa chalet dan homestay berhampiran pantai dengan harga yang berpatutan. Di samping itu, terdapat Jeti Pusat Perikanan LKIM Besut bersebelahan dengan pantai air tawar ada dijual ikan-ikan segar setiap hari.
2) Luncur Udara Paragliding Kota Putera
Tempat menarik di Besut, Terengganu wajib anda datang kali ini sangat berbeza daripada tempat yang sebelumnya. Kepada mereka yang sukakan aktiviti lasak mahupun ingin mencuba sesuatu yang baru disinilah tempatnya. Mungkin tidak ramai yang mengenali sukan luncur udara paragliding ini. Paragliding adalah sukan udara yang menggunakan payung luncur dan dijalankan dengan kaki. Paragliding mampu dikawal dan membawa penggunanya ke mana sahaja.
Jangan risau kepada yang baru ingin mencuba kerana faktor keselamatan amatlah dititik beratkan di Paragliding Kota Putera ini. Anda akan dikawal oleh seorang Paraglider yang berpengalaman. Benang yang digunakan dalam pembuatan payung luncur adalah Rip Stop Nilon iaitu antara benang yang terkuat dalam pembuatan fabrik. Ketika berada di udara anda akan dihidangkan dengan pemandangan panorama yang indah berlatar belakangkan bukit.